Notification

×

Iklan

Iklan

Maklumkan pihak berkuasa negara jika tahu lokasi Jho Low

| September 01, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-01T10:12:30Z
Datuk Seri Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA—Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, untuk memaklumkannya kepada pihak berkuasa negara ini.


Dalam sidang media selepas mengumumkan pelaksanaan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia di sini hari ini, Hamzah mempersoalkan tindakan pihak yang mendakwa tahu keberadaan Jho Low namun tidak bekongsi maklumat itu dengan Malaysia. 


“Dia tahu, kenapa tidak maklum kepada kita lokasi apa semua?”, katanya mengulas laporan yang mendakwa Jho Low berada di taman tema Disneyland, Shanghai, China pada malam Krismas, 2019.


Sebuah portal (Malaysiakini) melaporkan perkara itu didedahkan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope, menerusi episod pertama program ‘Where is Jho Low? The Search for the 1MDB Fraud Mastermind’, yang disiarkan di platform YouTube.


Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di taman tema itu. Hope mendakwa gambar bertarikh 24 Dis 2019 itu, diterima daripada sumber yang boleh dipercayai.


Jho Low dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa setakat ini masih belum berhasil.


Mengulas dakwaan nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia, Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mendengar khabar angin yang ditularkan di media sosial atau mana-mana platform. 


“Sebelum ini (pangkalan data) anda (media) ada tahu ke? Kalau tidak tahu, macam mana ada dakwaan? Kalau bab dakwaan atau surat layang, usah kita dengar,” katanya.


Tular di laman sosial Twitter semalam, mendakwa terdapat maklumat bahawa nama Najib sehingga semalam tiada dalam pangkalan data penjara, dan mereka meminta supaya Jabatan Penjara menafikan perkara itu sekiranya tidak benar.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update