5 individu ditahan dalam Op Ambang Merdeka

Gambar kredit PDRM


KUCHING—Empat lelaki ditahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Merbahaya 1952 kerana memiliki dadah manakala seorang wanita ditahan kerana menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.


Kesemua mereka ditahan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah Ambang Kemerdekaan 2022 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, sebanyak 841 orang dan 858 kenderaan diperiksa dalam operasi itu.


"Sejumlah 26 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata,operasi itu diadakan sekitar jam 10 malam sehingga jam 2 pagi semalam yang melibatkan seramai 71 orang polis IPD Padawan.

 

"Sebanyak lima pasukan Sekatan Jalan Raya, tiga pasukan Rondaan Cegah jenayah dan lima pasukan khas telah dibentuk bagi memastikan Keberkesanan Operasi Cegah Jenayah sempena ambang kemerdekaan," ujarnya.


Operasi itu diketuai Timbalan KPD Padawan, DSP Lim Jaw Shiong.

Next Post Previous Post