Notification

×

Iklan

Iklan

Kes baharu Covid-19 turun sedikit minggu lepas, Nor Hisham

| September 19, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-19T06:56:06Z

Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR— Sebanyak 13,627 kes baharu COVID-19 direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-37 (ME 37/2022) iaitu dari 11 hingga 17 Sept lepas berbanding 14,072 kes pada ME36/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Angka kes baharu berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 3.2 peratus.


"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 37/2022 adalah 26,378 iaitu terdapat penurunan sebanyak 4.1 peratus berbanding minggu sebelumnya," kata beliau dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.


Dr Noor Hisham berkata 31 kes kematian yang direkodkan pada ME 37/2022 juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding 34 kes pada minggu sebelumnya.


Mengenai bilangan kes sembuh pula, beliau berkata ia juga turun sebanyak 16 peratus dengan 14,513 kes itu direkodkan bagi ME 37/2022 berbanding 17,286 kes pada minggu sebelumnya.


Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 37/2022 menunjukkan penurunan 6.7 peratus bagi pesakit kategori 1 dan 2, manakala tiada perubahan untuk pesakit kategori 3, 4, dan 5.


“Bagi peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19, menunjukkan penurunan satu peratus bagi katil bukan kritikal manakala katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing turun dua peratus.


“Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) pula menunjukkan tiada perubahan,” kata beliau.


Jumlah kes positif yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga turun.


Mengenai Nilai RT atau kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata ia meningkat kepada 0.96 pada ME 37/2022 berbanding 0.92 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update