Kerana terputus elektrik dan Internet, pelajar SK Ulu Sungai Arip tersingkir Bahas Sarawak 2022



SELANGAU-- Impian empat pelajar dari Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Arip di sini untuk menyertai Pertandingan Bahas Peringkat Negeri Sarawak 2022 tidak kesampaian hanya disebabkan bekalan elektrik terputus dan kekangan liputan Internet yang lemah. 


Berkongsi kisah duka empat pelajar tersebut, Michael Bandang Tinggai, 25, berkata, pelajar terbabit merupakan peserta pertandingan itu yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau. 




Mereka dibarisi Chrystcella Sambun Atan, 12, Jezzyvelle Eveoniey Nuyah Tony, 11, Patrick Tajem Kindy, 11 dan Shchallixzty Rashenda Edward Serit, 10 tahun. 


Katanya, dia bersama seorang lagi guru, Jacklyn Ming Mering, 31, telah melatih pelajar-pelajar terbabit berbulan-bulan sebagai persiapan bahas berkenaan. 



"Semasa pertandingan baharu bermula iaitu pusingan pertama menentang PPD Samarahan semua sudah bersedia dan peralatan juga dalam keadaan baik. 


"Namun, ketika tiba giliran seorang muridnya berbahas, tiba-tiba bekalan elektrik terputus dan liputan Internet juga hilang. 


"Saya dan cikgu pembimbing berlari mencari dan bertanya tentang keaadan elektrik namun keadaan ini memang di luar kawalan," katanya ketika dihubungi hari ini. 


 

Ekoran keadaan ini, jelasnya, mereka bersama pelajar terlibat terpaksa membuat keputusan untuk mencari liputan Internet ke luar kawasan menggunakan kereta.


"Saya dan mereka terlibat bergegas membawa semua alat peranti dengan harapan ada liputan Internet di jalan utama Sibu-Selangau.


"Namun malangnya, liputan Internet masih tidak ada, malah untuk menghubungi pihak penganjur pun tidak dapat," dedah Michael. 



Akhirnya, katanya, pihaknya berjaya menghubungi pihak penganjur namun dimaklumkan masa kecederaan telah tamat menyebabkan mereka gagal menyertai pertandingan tersebut. 


"Murid-murid menangis sebab tidak dapat bertanding lagi... Hancur harapan mereka, saya sendiri pun tidak dapat buat apa-apa lagi. 


"Berbulan berlatih, berakhir macam ini saja, hujung minggu digunakan untuk berlatih, siang dan malam bersama mereka. 


"Hakikat yang amat pahit untuk ditelan, tersingkir kerana masalah teknikal yang tidak pernah habis, seperti terputus bekalan elektrik ini," katanya dengan kesal.

Next Post Previous Post