-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Julaihi ketuai delegasi Sarawak pada World Water Congress di Denmark

| September 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-13T07:26:48Z

KUCHING-- Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi mengetuai delegasi Sarawak pada 'World Water Congress' selama lima hari di Copenhagen, Denmark. 


Delegasi Sarawak turut menyertai kongres yang bermula 11 September lalu itu dalam usaha ke arah transformasi bekalan air mampan Sarawak, yang merupakan anjuran oleh International Water Association (IWA). 



Bertemakan “Water for Smart Liveable Cities”, persidangan itu dianggarkan disertai 3,800 delegasi daripada 102 negara dengan 330 pempamer. 


IWA merupakan badan yang diiktiraf dunia yang menjadi penanda aras untuk rujukan oleh industri air dan sanitasi.


Persidangan dwitahunan ini menghimpunkan profesional air dan penghubung air-pengguna industri, pertanian, arkitek dan perancang bandar, pakar hidrologi dan tanah dan pakar air bawah tanah, sains sosial, sektor ICT, sektor kewangan dan lain-lain ke arah mencapai "United Nation Sustainable Development Goals".



Kongres ini mengiktiraf kepentingan pengurusan sumber air yang mampan terhadap perubahan iklim yang akan memberi impak besar kepada keselamatan air.  


Ini memerlukan usaha global untuk penyelesaian baharu melalui pengalaman dan cabaran yang dikongsi bersama.  


Ia menyediakan penyelesaian untuk masalah pengurusan air yang kompleks pada hari ini dan untuk masa hadapan yang memerlukan tumpuan kepada pengurusan air bersepadu bagi merapatkan jurang antara dasar dan amalan.


“Persidangan ini tepat pada masanya dan relevan kerana industri air Sarawak sedang bergerak dan berubah ke arah transformasi.  


"Kami sedang melaksanakan sistem grid air seluruh Sarawak, menubuhkan entiti tunggal bekalan air dan badan korporat sebagai Pengawal Selia, dan menerapkan pendigitalan,” kata Julaihi dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya, semua inisiatif ini bertujuan ke arah pembangunan sistem bekalan air yang berdaya tahan.  


Oleh itu, katanya dengan memperolehi pengetahuan dan pengalaman di peringkat global, beliau berharap dapat menyediakan sistem yang boleh dipercayai, ekonomi dan mampan di seluruh Sarawak untuk memartabatkan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.  


"Ini adalah selaras dengan inisiatif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” tambah Julaihi.

 

Delegasi Sarawak turut disertai oleh Timbalan Menteri Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif, pegawai-pegawai kanan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli dan jabatan berkaitan. 

×
Berita Terbaru Update