KPDNHEP, Petronas tempatkan trak minyak bergerak di negeri terjejas banjir

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menandatangani plak sempena kerjasama KPDNHEP dengan Petronas ROVR dalam menyediakan trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak. Gambar arkib kredit ROVR

PUTRAJAYA—Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Petronas akan menempatkan trak perkhidmatan mengisi minyak bergerak, Petronas ROVR, di negeri-negeri yang dilanda banjir. 


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah berkenaan akan membolehkan orang ramai termasuk pasukan penyelamat mendapat akses bahan api dengan lebih mudah dan pantas. 


“ROVR ini akan digerakkan ke negeri yang mempunyai masalah gangguan bekalan bahan api berikutan banjir,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP dan Penyampaian Dana Harta Intelek sini hari ini.


Petronas ROVR adalah perkhidmatan mengisi minyak bergerak yang menggunakan trak yang membawa muatan bahan api berkapasiti 4,000 liter sehingga 11,000 liter.


Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023. Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur.


Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.


Nanta berkata KPDNHEP juga akan membantu mangsa banjir dengan pengagihan makanan melalui program Foodbank.


“Program Foodbank ini kita kumpulkan bantuan dari pihak industri, apabila musim tengkujuh kita edarkan makanan. Makanan dalam bentuk uncang ‘retot’ adalah antara yang akan diberikan kerana ia mudah diguna dan disimpan,” katanya.


Pada majlis itu, Nanta turut menyampaikan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 kepada lima penerima dengan jumlah geran bernilai RM428,697.


Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 adalah geran pembiayaan pemfailan harta intelek berjumlah RM4 juta bagi tempoh empat tahun, bermula tahun ini hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post