Harga RON95, diesel dijangka naik tahun depan ikut pasaran


KUALA LUMPUR— Harga bahan api RON95 dan diesel dijangka naik lebih tinggi mengikut harga pasaran apabila subsidi bersasar berkemungkinan besar akan dilaksanakan tahun depan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Memetik laporan Berita Harian semalam, Maybank IB menjangkakan harga bahan api itu lebih tinggi tahun depan dengan semakan semula subsidi bahan api.


"Kami difahamkan ujian mekanisme subsidi bersasar dimulakan bulan lalu dan akan berjalan tiga hingga enam bulan. Justeru, anggapan kami subsidi bahan api akan disemak semula tahun depan sebagai sebahagian agenda dalam Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini," kata Maybank IB dalam satu nota penyelidikan.


Nota disediakan tiga penganalisis bank pelaburan itu iaitu Dr Zamros Dzulkafli, Suhaimi Ilias dan Fatin Nabila Mohd Zaini.


Sementara itu, Maybank IB turut mengubah unjuran kadar inflasi 2022 kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus sebelum ini, manakala kadar inflasi tahun depan diunjurkan pada 4.0 peratus berbanding 4.1 peratus sebelumnya.


Katanya, unjuran itu diandaikan berdasarkan beberapa faktor antaranya kesan rasionalisasi subsidi harga yang sudah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan, pelarasan harga bahan api dan tarif elektrik berdasarkan kajian semula subsidi 2023, perlaksanaan 10 peratus Cukai Jualan ke atas barangan import dan kenaikan gaji minimum ke atas semua majikan tahun depan berbanding pengecualian ke atas perniagaan kecil yang mempunyai kurang daripada lima pekerja tahun ini.


“Dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua tahun ini, Kami juga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.


Jangkaan itu, katanya membabitkan kenaikan sebanyak 25 bps setiap satu iaitu semasa dua lagi Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini iaitu pada 7 hingga 8 September 2022 dan 2 hingga 3 November 2022.


"Kami juga menjangkakan kenaikan 25 bps lagi awal tahun depan untuk menjadikan OPR kembali ke tahap sebelum COVID-19 sebanyak 3.00 peratus menjelang akhir suku pertama 2023," katanya.


Semalam, BERNAMA melaporkan, harga minyak mentah dijangka mengalami pelarasan bermula 2023 tetapi akan kembali normal ke paras seperti sebelum pandemik.


Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata kumpulan itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan harga minyak mentah semasa dan menyatakan bahawa harga tinggi ketika ini adalah disebabkan oleh kekurangan pelaburan dalam tempoh lima tahun lepas. 


“Kitaran industri akan bermula. Akan ada pelarasan. Pada masa ini, apa yang kita lihat peningkatan harga minyak itu adalah berikutan kurangnya pelaburan dalam tempoh lima tahun lepas. Orang memberikan reaksi dan kembali kepada kitaran pelaburan.


“Selepas dua atau tiga tahun tanpa keputusan pelaburan akhir (FID) dalam sektor tenaga, kita melihat ia sekarang meningkat kembali kepada kapasiti 470 juta tan metrik,” katanya.

Next Post Previous Post