2 beranak maut motosikal terlanggar ayam hutan melintas

Keadaan motosikal di lokasi kejadian selepas melanggar ayam. Gambar kredit PDRM

KOTA TINGGI-- Dua beranak maut apabila motosikal yang dinaiki mereka melanggar seekor ayam hutan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kilometer 39.5, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, malam tadi. 


Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang melibatkan motosikal jenis Yamaha MT-09 itu kira-kira pukul 8 malam. 


Beliau berkata penunggang motosikal yang merupakan lelaki berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Felda Penggeli Timur bersama anak lelakinya yang berumur sembilan tahun. 


"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan akibat melanggar seekor ayam hutan yang secara tiba-tiba melintas jalan lalu terbabas ke kawasan rumput di bahu kiri jalan dan merempuh sebatang pokok. 


"Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Beliau berkata siasatan diteruskan bagi memastikan punca kejadian sebenar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


--BERNAMA

Next Post Previous Post