Kapal OPV: PAC panggil KDN, Maritim dalam masa terdekat

Kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia masih dalam pembinaan di Pulau Indah, Selangor. Gambar kredit Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR— Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan perolehan Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV).


Pengerusinya Wong Kah Woh berkata selain KDN dan APMM, Kementerian Kewangan serta syarikat yang diberikan kontrak untuk membina kapal itu akan turut dipanggil memberi keterangan.


Beliau berkata tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.


"PAC berpendapat kerajaan iaitu APMM dan KDN perlu memberikan penjelasan kepada Parlimen bagi memastikan rakyat mengetahui sebab sebenar kelewatan itu berlaku," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Wong berkata prosiding berhubung isu tersebut selaras dengan punca kuasa jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat selain Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982.


Maritim Malaysia dalam kenyataan pada 13 Sept memaklumkan tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan.


Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan sama berkata OPV itu sedang dibina oleh syarikat tempatan iaitu THHE Destini Sdn Bhd yang terletak di Pulau Indah, Selangor.


Pada 15 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sari Yaakob berkata PAC berhak memanggil mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kelewatan penerimaan tiga kapal berkenaan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post