Sarawak tubuh IBET kawal penularan rabies

Abang Johari (kiri) semasa majlis pelancaran pasukan khas ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) di Kuching hari ini. Gambar kredit UKAS


KUCHING-- Sarawak kini mempunyai satu pasukan khas yang dinamakan ‘Immune Belt Enforcement Team’ (IBET) bagi mengawal penularan wabak rabies dengan lebih proaktif terutamanya di kawasan sempadan negara.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pasukan IBET dibekalkan dengan kenderaan dan kelengkapan canggih bagi membolehkan mereka menjalankan tugas di lokasi pedalaman yang terpencil.


“Keadaan rabies di Sarawak terkawal tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana wabak itu boleh meragut nyawa…kita mempunyai kawasan yang agak luas dan sempadan kita melebih 1,000 ribu kilometer.


“Anjing ini tidak ada pasport, mereka boleh berkeliaran ke mana-mana sahaja. Justeru, kita perlu bekerjasama dengan masyarakat setempat atau ketua masyarakat untuk mengenal pasti anjing penduduk tempatan atau anjing liar,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran IBET di sini hari ini.


Abang Johari berkata setiap anjing yang dikenal pasti akan dimasukkan cip bagi mengesan pergerakannya sekali gus membolehkan kerajaan negeri mendapatkan data yang diperlukan dalam usaha mengekang wabak tersebut.


Berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata dengan segala persediaan dan kelengkapan yang ada, pasukan IBET akan dapat melindungi rakyat Sarawak daripada ancaman rabies yang dibawa anjing liar dari negara jiran sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang.


IBET diselia Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Pejabat Premier Sarawak dengan keanggotaan sebanyak 108 orang yang akan ditugaskan mengawal dan mengawasi sejumlah 978 buah kampung, ladang dan pos kawalan di seluruh Sarawak serta kawasan sempadannya.


Sementara itu, Pengarah UKPN Datuk Dr Chai Khin Chung yang turut berucap dalam majlis itu berkata sepanjang tempoh antara 2017 dan 2022, negeri itu telah merekodkan 45 kes rabies yang melibatkan kematian.


“Pada tahun ini iaitu sehingga September, Sarawak merekodkan 11 kes berbanding 10 kes tahun lepas,” katanya.


Beliau menambah, selain penugasan mengawal wabak rabies IBET juga sedia ditugaskan untuk operasi penyakit kuku dan mulut, demam babi Afrika dan penyakit bawaan haiwan lain dari semasa ke semasa.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post