WPFG2022: Bomba bawa pulang 15 pingat emas

Peserta Malaysia mengambil bahagian dalam acara dart semasa temasya Sukan Polis dan Bomba dunia 2022 (WPFG2022) yang berlangsung di Rotterdam. Gambar kredit 2022 World Police and Fire Games

SEPANG— Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya membawa pulang 15 pingat emas dalam temasya Sukan Polis dan Bomba Dunia 2022 (WPFG2022) yang berlangsung di Rotterdam, Belanda dari 22 hingga 31 Julai lepas.


Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kejayaan cemerlang itu adalah hasil semangat serta tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan atlet terbabit yang mengambil bahagian dalam enam acara iaitu badminton, dart, boling, golf, bench press dan push pull.


Antara acara yang dipertandingkan semasa WPFG2022. Gambar kredit 2022 World Police and Fire Games


“Kita akan beri insentif kepada mereka yang bawa pulang pingat kepada negara. Berapa jumlahnya kita akan umumkan (nanti),” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kontinjen terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.


Selain pingat emas, kontinjen itu juga meraih 11 pingat perak dan 11 pingat gangsa dalam temasya sukan dwitahunan itu. WPFG2022 sertai lebih 10,000 atlet bomba dan polis dari 70 negara.


Atlet acara dart, Mohd Nasir Jantan, 49, yang menyumbang empat pingat emas menerusi acara dart perseorangan dan beregu menyifatkan kejayaan itu sebagai pembakar semangat untuk terus bergiat aktif dan cemerlang dalam acara yang diceburinya sejak 2010 itu.


Berkhidmat selama 29 tahun sebagai anggota JBPM, anak kelahiran Melaka Itu berkata beliau menjalankan rutin latihan setiap hari selepas tamat waktu bekerja.


“Saya kerja ikut waktu pejabat jadi tidak ada masalah untuk berlatih dart. Selain latihan secara fizikal, saya juga berlatih secara dalam talian,” katanya yang juga pernah membawa pulang empat pingat emas dalam acara terbabit pada kejohanan sama di Chengdu, China pada 2019.


Pada WPFG di China pada 2019, JBPM membawa pulang tujuh pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post