Jackie pasang impian akhiri cabaran 10 terbaik di Birmingham

Jackie Wong, 10 terbaik di Birmingham, Baling tukul besi, Komanwel Birmingham 2022, Stadium Alexander
Jackie Wong. Gambar arkib kredit MSN

BIRMINGHAM—Hasrat meraih pingat dianggap mustahil, justeru atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong mempunyai misi tersendiri apabila turun memulakan aksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander di sini, esok (4 Ogos).


Atlet berusia 30 tahun itu berkata dengan kehadiran ramai jaguh dunia, beliau menyasarkan untuk menamatkan cabaran di Birmingham dalam kelompok 10 terbaik, sekali gus memperbaiki pencapaiannya di kedudukan ke-14 pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.


“Saya perlu realistik, menang pingat memang susah sebab ramai atlet kelas dunia berada di sini. Saya akan memberi yang terbaik untuk berada dalam kedudukan 10 teratas,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas, itu.


Jaguh Asia Tenggara itu berkata beliau juga akan menampilkan aksi terbaik bagi memperbaharui rekod peribadi yang juga rekod kebangsaan pada temasya kali ini, sejak kali terakhir melakukannya tiga tahun lepas.


Jackie yang membuat penampilan kedua pada temasya Sukan Komanwel, memegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22 meter (m) ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2019.


Sebelum ini, usahanya memperbaharui catatan berkenaan gagal berikutan beberapa faktor terutama susulan pandemik COVID-19 yang menyaksikan beliau tidak dapat menyertai kejohanan sama di dalam mahupun luar negara.


Jackie berkata persediaan bagi menghadapi saingan di Birmingham lebih baik berbanding sebelum ini, dan beliau juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dingin di Birmingham sekitar 23 hingga 25 darjah Celsius pada sebelah siang.


Pada temasya kali ini, Jackie tidak perlu mengerah kudrat di pusingan awal apabila akan terus beraksi di peringkat akhir berikutan hanya melibatkan penyertaan 12 peserta.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.