Notification

×

Iklan

Iklan

Remaja 17 tahun seludup 25 PATI guna Vellfire

| Ogos 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-03T12:09:50Z
Gambar kredit  Polis Sentul

KUALA LUMPUR—Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin ke bandar raya selepas menahan kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing dekat sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat sini pada 12.05 tengah hari.


Gambar kredit  Polis Sentul


Beliau berkata remaja itu enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan polis dan bertindak melarikan diri, sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas serta tiga kereta orang awam.


“Seramai 19 lelaki dan enam wanita warga asing berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan peribadi ditemukan berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beh berkata siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya yang telah melarikan diri itu membawa kesemua pendatang tanpa izin dengan bayaran RM6,000 seorang dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur pada pukul 3 pagi semalam.


Beliau berkata semakan mendapati remaja itu tidak bersekolah, malah tidak memiliki lesen memandu, dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.


Katanya kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 168 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update