23 guru murung, stress dipanggil untuk kaunseling

Sebahagian guru tertekan kerana faktor luar seperti masalah kewangan dan keluarga. Gambar hiasan kredit Feliphe Schiarolli via unsplash

MELAKA— Seramai 23 guru yang dikenal pasti mengalami tekanan akan dipanggil untuk melalui proses tertentu termasuk kaunseling, bagi meningkatkan motivasi mereka dan pulih daripada gangguan emosi yang dialami.


Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata kesemua mereka itu dikenal pasti menghadapi tekanan menggunakan Saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), untuk mengukur tahap stres dan kemurungan dalam kalangan guru di Melaka.


“Sebilangan mereka berada dalam tekanan bukannya disebabkan bebanan tugas, tetapi disebabkan faktor di luar tempat kerja seperti menghadapi masalah di rumah, kewangan dan keluarga.


“Kita telah mengenal pasti semua guru yang terlibat, seperti yang diminta Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk  bantu mereka ini keluar daripada permasalahan yang dihadapi,” katanya kepada media di Krubong di sini hari ini.


Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah-sekolah Negeri (MSSN) Melaka, di Dewan Komuniti Sukan Krubong.


 
Mengulas lanjut Rais berkata pihaknya tidak akan mendedahkan kepada masyarakat apakah masalah yang dihadapi mereka, namun pihaknya akan memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) membantu kesemua guru itu.
“Insya-Allah, saya sendiri akan memantau apakah statusnya dan saya amat berharap tekanan yang dihadapi para guru-guru ini, dapat dikurangkan segera,” katanya. 


Kesemua 23 guru (3.54 peratus) yang dikesan berada tahap tertekan (stres) itu, merupakan dalam kalangan seramai 648 orang daripada 13,976 guru di Melaka, yang dikenal pasti menghadapi tekanan melalui saringan DASS, manakala 28 orang (4.32 peratus) berada pada tahap kemurungan .


Pada 27 Julai lepas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengarahkan JPN Melaka menyiasat punca 648 daripada 13,976 guru di negeri itu, yang menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat.


Beliau yang memandang serius laporan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu laporan lengkap berhubung perkara itu dibentangkan kepadanya, sebelum dibawa kepada Kementerian Pendidikan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post