Willie kini ahli PBB

Abang Johari semasa sidang media selepas pengumuman Willie sebagai ahli PBB di Kuching hari ini.

KUCHING-- Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin untuk menyertai parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu telah diluluskan.


Premier Sarawak itu katanya, susulan keputusan tersebut, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kini telah diterima sebagai ahli PBB.


"Ahli-ahli Majlis (Tertinggi) telah menerima permohonan daripada Willie Mongin untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.


"Tiada syarat (ditetapkan). Dia kini adalah ahli PBB kerana beliau memberi sokongan kepada PBB (pada Pilihan Raya Negeri lalu)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu di sini hari ini. 


Sebelum ini, bekas Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Michael Manyin Jawong meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Willie Mongin menghantar permohonan untuk menyertai parti itu.


Katanya, tindakan ahli politik itu wajar dipersoalkan kerana memaparkan kredibiliti seorang wakil rakyat yang tidak jelas serta mengelirukan.


“Saya dahulu memegang jawatan pengarah operasi pilihan raya Barisan Nasional (BN) di Puncak Borneo, dan ketika itu beliau (Datuk Willie Mongin) telah memburuk-burukkan kami, sudah tentu saya terasa hati dengan beliau.


“Persoalan sekarang ialah adakah beliau memang memohon untuk menjadi calon atau memohon menjadi ahli PBB, ini adakah dua perkara yang berbeza,” jelasnya.


Pada Jun lalu, Willie yang mengesahkan beliau telah menyerahkan permohonan untuk menyertai PBB, berkata beliau menyerahkan permohonan penyertaannya beberapa bulan lalu.


“Saya menyerahkan permohonan untuk sertai parti tempatan dengan harapan mereka dapat menerimanya,” kata Willie.


Katanya, beliau bersama Bersatu bagi mendapatkan sokongan kepada kerajaan hari ini, sambil berkata beliau masih menyokong pentadbiran kerajaan ketika ini dan menyatakan terima kasih atas bantuan yang diterimanya setakat ini.


“Saya mahu meneruskan khidmat kepada rakyat, dan saya bersyukur kerana berada dalam kerajaan,” katanya.


“Kita sudah banyak berikan bantuan dan pembangunan ke kawasan ini, dan saya harap ia akan berterusan.”


Ketika ditanya apakah permohonannya akan diterima, Willie berkata beliau berharap PBB akan menerima beliau sebagai ahli memandangkan sumbangan yang beliau berikan kepada kawasan diwakilinya.


“Saya serahkan perkara ini kepada pimpinan parti, ia terpulang kepada mereka,” katanya.


Willie memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo pada pilihan raya umum ke-14 atas tiket PKR, namun diketepikan oleh parti itu selepas beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR menarik balik sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan semasa peristiwa “Langkah Sheraton”, sebelum menyertai Bersatu.

Next Post Previous Post