Kuching harus miliki pengangkutan awam moden seperti ART

Abang Johari merasmikan sambutan ulang tahun ke-34 bandar raya Kuching di bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini. Gambar Sarawakku

KUCHING— Kuching harus memiliki pengangkutan awam yang moden untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sekali gus mengangkat imejnya sebagai bandar raya maju dan pintar di Sarawak.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sistem pengangkutan awam moden merupakan penanda aras kepada sesebuah bandar raya yang mesti dimiliki oleh Kuching.


Gambar Sarawakku


Tambahnya, usaha itu selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi mencapai sifar pencemaran udara dengan adanya sistem pengangkutan awam yang moden seperti bas dan Transit Aliran Automasi (ART) yang menggunakan sumber tenaga hidrogen.


"Fasa pertama projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) bernilai bilion ringgit yang dijadualkan bermula September ini juga bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya dan kawasan sekitarnya.


"Metro Sarawak baru-baru ini telah menganugerahkan Kontrak Pakej Sistem 1 untuk KUTS kepada kontraktor bulan lepas membabitkan jumlah kontrak RM1.425 bilion.


"Kontrak itu adalah untuk pembekalan 'rolling stock' yang terdiri daripada ART berkuasa hidrogen, peralatan depoh dan penyelenggaraan kenderaan, sistem isyarat dan kawalan serta pagar platform automatik," katanya.


Abang Johari berkata demikian semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-34 bandar raya Kuching di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.


Projek itu melibatkan laluan sepanjang 52.6 kilometer hingga ke Kota Samarahan dan dijangka beroperasi pada 2025.


Sarawak Metro juga telah menandatangani MOU dengan dua syarikat tempatan, Naim Holdings Bhd dan Ibraco Bhd untuk bekerjasama dalam pelaksanaan dan pengurusan KUTS.


Hadir sama Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta dua Datuk Bandar iaitu Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong dan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.

Next Post Previous Post