VOP bantu kontraktor Sarawak bangkit semula, Fadillah

VOP bantu kontraktor Sarawak, Fadillah, GPS, Sarawak Update
Gambar arkib

KUCHING—Pelaksanaan variasi harga (VOP) 2.0 menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 mampu melonjakkan kembali sektor pembinaan di negeri ini, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), dalam kenyataan hari ini berkata inisiatif itu turut membantu kontraktor berdepan kenaikan harga bahan binaan dan mengelakkan kontraktor kecil gulung tikar. 


“Seterusnya pelaksanaan VOP 2.0 di Sarawak dengan tanggungan kos RM700 juta oleh kerajaan negeri ini juga, akan membantu memastikan projek kerajaan tidak terjejas serta dapat disiapkan mengikut jadual.


“COVID-19 telah menyebabkan kenaikan harga bahan binaan di peringkat global, yang antara lain telah menjejaskan aktiviti pemprosesan sehingga menyebabkan kos bahan mentah meningkat,” menurut kenyataan itu.


Selain itu, beliau berkata faktor perubahan dasar di peringkat luar negara seperti China yang memutuskan untuk tidak mengeksport beberapa barangan, turut menyumbang kepada permasalahan tersebut.


VOP 2.0, yang melibatkan 25 bahan bahan binaan tambahan iaitu 15 bahan tambahan untuk kerja pembinaan dan 10 bahan tambahan untuk kerja kejuruteraan, bertujuan menampung kenaikan harga bahan binaan bagi projek kerajaan negeri.


Menurut Fadillah, isu kenaikan harga bahan adalah antara masalah utama yang disuarakan semasa pertemuannya dengan pemain sektor pembinaan, khususnya kontraktor, dan ia membebankan mereka sehingga menjejaskan pelaksanaan projek.


Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu berkata BKSS 9.0 membuktikan kerajaan pimpinan GPS sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup dan tekanan inflasi.


Terdahulu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pelaksanaan BKSS 9.0 meliputi lima langkah untuk enam bulan terakhir tahun ini dengan peruntukan keseluruhan hampir RM1 bilion.


Langkah lain termasuk diskaun 25 peratus bagi kadar taksiran tahunan melebihi RM400 dan 30 peratus bagi kadar RM400 dari Julai hingga Disember ini.


Bantuan menerusi pakej BKSS sebelum ini seperti diskaun antara 10 dan 25 peratus untuk bil air; lima dan 25 peratus untuk bil elektrik dan 50 peratus diskaun sewa untuk gerai dikendalikan di bawah pihak berkuasa tempatan juga diteruskan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.