326 calon guru minta sokongan isi kekosongan di Sarawak

Gambar hiasan kredit SK Lusong Laku, Belaga

KUCHING--Seramai 326 anak kelahiran Sarawak memohon sokongan daripada kerajaan negeri supaya dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 Contract of Service (COS) ambilan khas anak Sarawak bagi tahun 2022 bagi menampung segera kekurangan guru di Sarawak bagi tahun ini.


Salah seorang calon anak Sarawak yang juga bekas guru ganti, Dayang Dayana Abdul Nasir 29, berkata, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengambilan 5,000 guru secara one-off atau sekali pengambilan  untuk penempatan tahun depan pada 25 Ogos lalu.


Menurutnya, kekosongan tahun ini wajar di isi segera tahun ini juga kerana mereka telah menunggu terlalu lama iaitu selama sembilan bulan.


"Seramai 326 anak kelahiran Sarawak memohon sokongan lantikan bagi tahun 2022 kerana kami merupakan calon-calon anak kelahiran negeri Sarawak yang tidak berjaya dalam pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 Contract of Service (COS) tahun 2021 apabila keputusan temuduga dikeluarkan pada 27 Mei 2022 kerana tidak menepati kekosongan mata pelajaran.


"Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati kami, kerana hakikatnya masih berlaku ketidaksepadanan opsyen di sekolah pada masa kini. Realitinya, guru-guru one-off dan COS yang baru dilantik ini, diberikan oleh pihak pentadbir, mata pelajaran yang berbeza berbanding opsyen dinyatakan dalam surat tawaran, misalnya, ada guru Pendidikan Islam yang mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada 22 Ogos lalu, isu kekurangan guru di Malaysia hangat di paparan akhbar apabila Pakar Pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris menyatakan kekurangan guru di Malaysia ialah kira-kira 10,000 kekosongan di kawasan bandar dan 4,732 kekosongan di kawangan luar bandar.


Menteri Kanan Pendidikan Malaysia menyatakan bahawa sehingga 25 Julai tahun ini kekosongan perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Sarawak adalah sebanyak 3,182.


Katanya, rasional mereka memohon sokongan lantikan Guru COS bagi  menampung kekurangan guru di Sarawak ialah mereka telah melalui proses lantikan seperti  pada tahun 2021.


"Kami telah melengkapkan permohonan di Laman Rasmi Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (MYPDPP), lulus Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG), menjalani temuduga secara atas talian melalui google meet, sudah memuat naik sijil vaksinasi Dan mendapat maklum balas positif daripada panel semasa sesi temuduga.


"Kami telah bersedia untuk melapor diri di mana-mana sekolah di Sarawak sama ada di luar bandar atau di bandar, serta mengisi mana-mana opsyen yang masih kosong seperti yang ditandakan pada permohonan dalam Laman MYPDPP sebaik sahaja selesai temuduga pada November 2021, selain bersedia untuk berKursus Dalam Cuti (KDC) bagi Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysi," katanya.


Katanya, ia sekali gus bertepatan dengan keinginan kementerian dari aspek penjimatan kos, tenaga dan masa agar kekosongan guru segera di isi bagi mengurangkan beban guru sedia ada di sekolah dari aspek bilangan mata pelajaran dan kelas yang di ajar serta pelbagai tugasan di sekolah, bagi menjaga kesejahteraan guru sebagaimana aspirasi Menteri Kanan Pendidikan Malaysia iaitu “Sekolahku Sejahtera”.


"Ini akan memberi inspirasi baru kepada anak murid secara holistik selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan melalui variasi latar belakang kami, seiring dengan keinginan untuk bersama-sama melahirkan modal insan berkualiti tinggi bagi menggerakkan Sarawak ke arah mencapai status Negeri Maju menjelang 2030," katanya.


Dayang Dayana berkata, calon-calon Sarawak walaupun tidak mempunyai Ikhtisas pendidikan, tetap berdaya saing kerana melalui data terkumpul yang merumuskan bahawa Ramai calon mempunyai pengalaman sebagai Guru Ganti, Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Guru MySTEP dan Guru KAFA di sekolah kerajaan sama ada di sekolah kawasan banadar atau luar bandar.


"Terdapat calon yang pernah menjadi guru kontrak di sekolah kerajaan yang dibayar menggunakan kewangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Ada calon yang mempunyai pengalaman mengajar di institusi swasta, sekolah swasta, pusat tuisyen, pusat perkembangan awal kanak-kanak, Pusat Perkembangan Minda, dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).


"Pengambilan anak kelahiran Sarawak dapat mengurangkan masalah yang sering ditimbulkan oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan kelahiran Semenanjung Malaysia yang mendapat penempatan di Sarawak tetapi enggan melapor diri, enggan mengajar di kawasan luar bandar, kampung dan pedalaman Sarawak," tambahnya.

Next Post Previous Post