Terbitan Sukuk RM4 bilion bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi Sarawak

Abang Johari (barisan belakang empat kiri) semasa Penyerahan Simbolik Sukuk bernilai RM4 bilion di Loji Metanol Petchem Sarawak, Tanjung Kidurong, Bintulu semalam. Gambar  kerdit Pejabat Premier

BINTULU—Kejayaan terbitan Sukuk bernilai RM4 bilion bagi pembiayaan Loji Metanol Petchem Sarawak, Tanjung Kidurong di sini semalam adalah bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi Sarawak.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian pada Majlis Penyerahan Modular dari Vietnam dan Penyerahan Simbolik Sukuk bernilai RM4 bilion di Loji Metanol Petchem Sarawak, Tanjung Kidurong, Bintulu semalam. 


Pembinaan  Loji Metanol Petchem Sarawak di Tanjung Kidurong, Bintulu. Gambar  kerdit Pejabat Premier


"Kestabilan politik Sarawak dan kerajaan GPS yang berpandangan jauh adalah dua faktor penting yang telah mendapat kepercayaan pelabur," katanya.


Projek metanol milik Sarawak menggunakan gas asli luar pesisir sebagai bahan mentah kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang suku pertama 2024.


Abang Johari bersama yang lain melawat Loji Metanol Petchem Sarawak, Tanjung Kidurong yang telah mencapai 60 peratus pembinaan. Gambar  kerdit Pejabat Premier


Mengulas mengenai loji metanol tersebut beliau berkata dalam tempoh empat bulan lalu, kontraktor tempatan serta asing telah membina bangunan termasuk pemasangan komponen terpenting kilang dan pada masa yang sama, pekerja tempatan dilatih dalam proses pengeluaran metanol serta teknologinya.


Setelah siap, Abang Johari berkata, loji itu akan menjadi loji pertama di Sarawak yang mengeluarkan metanol dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.75 juta tan metrik.


Sementara itu, Sarawak Petchem dalam satu kenyataan berkata terbitan Sukuk telah menerima maklum balas kukuh daripada pelabur dengan lebihan langganan lebih dua kali ganda saiz sasaran awal dengan terbitan akhir RM4 bilion.


Sementara itu Premier Sarawak merasmikan majlis pecah tanah kemudahan pengedaran gas tambahan Petronas yang akan membekalkan gas kepada loji itu untuk menghasilkan metanol.


Terdahulu, Pengerusi Sarawak Petchem Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam ucapannya berkata secara keseluruhan, pembinaan loji metanol tersebut telah mencapai 60 peratus.


Katanya, Sarawak Petchem telah berjaya memperoleh dana sukuk bernilai RM4 blion untuk membiayai pembangunan projek itu daripada pelbagai pelabur.

Next Post Previous Post