Bank Indonesia naikkan kadar faedah kepada 3.75 peratus

Gambar hiasan

JAKARTA—Bank Indonesia (BI) menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 peratus daripada 3.5 peratus buat pertama kalinya sejak 2018. 


Gabenor BI Perry Warjiyo berkata keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan risiko peningkatan inflasi teras dan jangkaan inflasi disebabkan oleh kenaikan harga bahan api tidak bersubsidi dan inflasi makanan yang tidak menentu.  


Langkah itu dijangka dapat mengukuhkan dasar penstabilan kadar pertukaran rupiah di tengah-tengah ketidakpastian global dan peningkatan kukuh pertumbuhan ekonomi domestik,  katanya dalam satu kenyataan.  


BI juga menaikkan deposit semalamannya dan kadar kemudahan berian pinjaman sebanyak 25 mata asas masing-masing kepada 3.0 peratus dan 4.5 peratus, di tengah-tengah dasar yang ketat di Amerika Syarikat dan kekukuhan dolar AS. 


Bank pusat itu menjangka inflasi meningkat melebihi 5.0 peratus tahun ini daripada unjuran antara 4.5 peratus dan 4.6 peratus.


Menurut RHB Bank Bhd, kenaikan itu menandakan permulaan kadar yang tinggi pada 2022, sambil menambah BI akan menaikkan kadar dasarnya kepada 4.0 peratus pada separuh pertama tahun ini dan 4.5 peratus pada 2023.


“Kenaikan kadar pada hari ini jelas menunjukkan kebimbangan penggubal dasar terhadap harga pengguna yang tinggi di tengah-tengah kelemahan nilai rupiah Indonesia,” kata Ahli Ekonomi RHB Barnabas Gan dalam satu nota penyelidikan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post