'Geng Oscar' aktif curi kenderaan tumpas

Ahsmon menunjukkan sebahagian kenderaan yang dirampas semasa Op Lejang IPD Kuching pada 17 Julai lalu.

KUCHING—Polis berjaya menyelesaikan kes curi 12 buah motosikal dan kenderaan di sekitar daerah Kuching dan Padawan dengan tertumpasnya 'Geng Oscar' yang dianggotai warga asing.


Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, pasukan khas Op Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching diketuai ASP Baharuddin dan 13 anggota telah membuat serbuan di kawasan rumah tidak bernombor dekat Kampung Siol Kandis pada 17 Julai lalu.



Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menangkap tiga lelaki Geng Oscar warga asing berusia 24 hingga 32 tahun.


"Kita merampas empat buah motosikal dan beberapa alat yang digunakan untuk mencuri kenderaan.


"Dengan penangkapan Geng Oscar ini, kita berjaya menyelesaikan 12 kes kecurian motosikal di sekitar daerah Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, Geng Oscar telah aktif sejak bulan Mac 2022, dianggotai lima individu warga asing.


"Modus operandi kumpulan ini mensasarkan lokasi sekitar bandar raya Kuching dan kawasan perumahan di Padawan.


"Mereka mensasarkan motosikal jenama Yamaha dan pikap Toyota Hilux yang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran," ujarnya.


Beliau berkata, kumpulan itu menggunakan alat pemutar skru yang telah diubah suai berbentuk T dan satu master key serta beberapa alat perkakas yang lain untuk mencuri kenderaan.


"Kumpulan ini juga akan menyembunyikan kenderaan yang dicuri di kawasan semak kemudian dibawa masuk ke negara jiran.


"Suspek utama kumpulan telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara," katanya.


Katanya, suspek lain telah dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan enam bulan penjara, selain dituduh di bawah Seksyen  6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di Malaysia secara haram.

Next Post Previous Post