Tambang bas RM1 Sarawak kekal

Lee menyampaikan BKSS sebanyak RM500 kepada pengusaha bot di Terminal Bako hari ini.

KUCHING— Sarawak tidak bercadang menghentikan kadar tambang rata RM1 yang dinikmati penumpang bas henti-henti di semua bandar seluruh negeri ini.


Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata sebaliknya kadar tambang itu dikekalkan untuk semua penumpang bas termasuk warga asing.



"Tambang bas RM1 memang akan diteruskan. Ya, semua (dikenakan tambang RM1 seorang termasuk warga asing) dan ini seluruh Sarawak,"katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 (BKSS 8.0) sebanyak RM500 secara ‘one off’ kepada seramai 66 pengusaha bot pelancong bagi Sektor Bako  dan Terminal Penumpang Bako di Terminal Bako, di sini, hari ini.


Lee mengulas sama ada tambang terbabit yang mula dikenakan sejak 18 Mei 2020 akan dihentikan berikutan COVID-19 yang sudah masuk ke fasa endemik.


"Ini adalah salah satu cara kerajaan Sarawak ingin menggalakkan lebih ramai menggunakan bas dalam kawasan bandar," katanya.


Sementara itu Lee menyangkal  perkhidmatan feri membawa pelancong ke Taman Negara Bako juga sesuai disediakan di Terminal Bako.


“Memandangkan sudah ada jambatan menghubungkan penduduk Kampung Bako di seberang sungai, perkhidmatan bot membawa pelancong di terminal itu juga satu komponen tarikan pelancongan ke taman negara terbabit.


"Penggunaan bot juga lebih senang bagi membawa pelancong melihat pelbagai spesies haiwan liar seperti buaya,"katanya.

Next Post Previous Post