Pandelela mahu lebih ramai bakat dalam sukan terjun

Datuk Pandelela ketika pelancaran token tidak sepiawai (NFT) miliknya 'P.Zero 1' di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR—Ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong berharap Malaysia Swimming (MS) akan berusaha mencari lebih ramai bakat dalam sukan terjun.


Meskipun berasa sedih dengan situasi terkini sukan terjun, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengakui pandemik COVID-19 telah menjejaskan pembangunan atlet junior dalam pasukan kebangsaan serta negeri.


Bagaimanapun, anak kelahiran Sarawak itu yakin Malaysia akan menghasilkan penerjun yang baik pada masa akan datang, sekiranya semua pihak terbabit termasuk MS dan Majlis Sukan Nasional (MSN) melaksanakan usaha yang lebih bersepadu dalam mencari bakat baharu. 


“Ada peluang (untuk menghasilkan penerjun yang bagus) cuma perlu masa untuk dibangunkan. Nak pergi dari junior ke tahap saya bukan mudah, ia perlukan masa.


“Saya harap pihak berkenaan seperti MS ada perancangan bagi meningkatkan ‘talent pool’ (kumpulan bakat). Usaha MSN juga penting kerana saya daripada program pembangunan mereka dahulu dan harap ia dapat diteruskan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran token tidak sepiawai (NFT) miliknya ‘P.Zero 1’ di sini, hari ini. 


MSN menerusi kenyataan baru-baru ini berkata beberapa acara dalam olahraga dan terjun digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, bermula 16 hingga 24 Sept ini, kerana gagal mendapat penyertaan sekurang-kurangnya enam negeri.  


Selain itu, Pandelela yang akan kembali berlatih esok selepas menyertai Sukan Komanwel Birmingham baru-baru ini, memaklumkan beliau akan bertanding dalam Grand Prix Terjun Kuala Lumpur pada November ini.


Dalam pada itu, Pandelela berkata karya seni digital NFT ‘P.Zero1’ dicipta untuk berkongsi kisahnya kepada dunia dan memberi penghormatan kepada sukan itu yang telah mengubah hidupnya secara drastik, dari hanya seorang gadis kampung Bidayuh kepada atlet wanita yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.


“P untuk Pandelela manakala ‘Zero1’ melambangkan perjalanan saya daripada seorang yang tiada apa-apa kepada seseorang yang dikenali dalam sukan,” katanya


Beliau berkata COVID-19 telah mengajarnya perkara baharu selain sukan terjun dan membawanya menerokai pelaburan kewangan terutama dalam aset kriptografi.


Direka oleh artis digital Nicholas Chuan, NFT eksklusif itu yang merupakan produk kolaborasi antara syarikat pengurusannya Knight Communications dengan Prime Sports NFT, kini dilelong menerusi pasar NFT, OpenSea, dengan harga permulaan RM2,000, bermula hari ini ini (24 Ogos) hingga 31 Ogos. 


NFT adalah token unik yang wujud dalam blok rantai, bermaksud ia tidak boleh ditiru. Ia boleh mewakili sesuatu produk dalam dunia sebenar seperti karya seni atau muzik serta boleh diniagakan. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post