Langgar kereta polis dan orang awam akibat pengaruh dadah, lelaki dipenjara 2 bulan 7 hari

Seorang lelaki dipenjara kerana memandu secara berbahaya dibawah pengaruh dadah.

PADAWAN— Mahkamah Majistret hari ini menjatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM5,000 terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya di bawah pengaruh dadah.


Tertuduh, Mohd Ruzaiman Mahli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.


Tertuduh yang gagal membayar denda tersebut turut dikenakan hukuman penjara dua bulan.


Zubaidah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.


Mengikut pertuduhan, Mohd Ruzaiman yang memandu kereta jenis Honda City secara berbahaya telah merempuh sekatan jalan semasa Ops Covid-19 di Jalan Kuching Serian, sekitar 6.35 pagi pada 28 Mac 2022.


Tertuduh yang memandu di bawah pengaruh dadah telah melanggar kenderaan polis serta kenderaan orang awam dan didakwa Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Jimmy Tanjong Andrew Mang sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Next Post Previous Post