Sorok minyak masak, sebuah rumah di Sarikei diserbu

Bekalan minyak masak paket yang disorok di sebuah kediaman di Jalan Jelutong Barat, Sarikei.


SARIKEI— Sebuah rumah di Jalan Jelutong Barat di sini diserbu kerana disyaki menyimpan stok minyak masak paket dalam kuantiti banyak tanpa lesen, pada Rabu.



Serbuan dilakukan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Sarawak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).




Ketua Cawangan KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan  berjaya menemui sebanyak 600 kilogram (30 kotak X 20kg) minyak masak paket 1kg jenama Cap Kapten dengan nilai rampasan sebanyak RM1,500.


"Operasi bersama ini dilaksanakan bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas mencukupi di pasaran dan mengelakkan berlakunya aktiviti penyelewengan melalui penyorokan barang-barang kawalan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,KPDNHEP memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau bersubsidi bagi mengelakkan tindakan yang tegas pihak berkuasa. 


“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan.


"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000," tegasnya.
Next Post Previous Post