Sarawak tersingkir dari Piala Malaysia?

Datuk Ab Ghani Hassan. Gambar arkib MFL


KUCHING—Sarawak United FC berkemungkinan tidak dapat bertanding dalam TM Piala Malaysia tahun ini jika masih gagal menyelesaikan gaji pemain dan pegawainya yang tertunggak.


Presiden Malaysian Football League (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, pihaknya telah mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa hari ini.


"MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku melibatkan Sarawak United.


"Seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di TM Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi MFL hari ini.


Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, MFL juga membuat keputusan untuk menyalurkan sejumlah RM100,000 bagi membantu pemain dan pegawai Sarawak United yang mengalami masalah tunggakan gaji.


Keputusan menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-4 Bagi Penggal 2021-2025 yang dipengerusikan oleh beliau semalam itu dibuat bagi meringankan beban yang dipikul oleh pemain dan pegawai terlibat.


“Berdasarkan laporan yang MFL terima daripada PFAM, barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam bersetuju sebulat suara untuk mengambil tindakan segera memotong dana hak penyiaran Sarawak United sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada pemain dan pegawai yang mengalami masalah tunggakan gaji," katanya.


Jelasnya, pembayaran kepada pemain Sarawak United FC yang terlibat akan disalurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).


Sementara itu, PFAM menerusi Facebook rasminya memaklumkan bahawa pihaknya menyambut baik usaha MFL dalam meringankan beban pemain Sarawak United.


"Pihak MFL telah memaklumkan kepada pihak PFAM untuk memberikan bantuan kepada pemain Sarawak United FC dengan menolak geran yang diberikan kepada Sarawak United FC yang berjumlah RM100,000.


"PFAM akan membantu MFL untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada pemain Sarawak United FC seperti yang dipersetujui oleh MFL," katanya.


Tambahnya, dalam masa yang sama, MFL memberikan tempoh 14 hari kepada Sarawak United untuk melunaskan segala tunggakan yang masih berlaku terhadap pemain.


"Sekiranya Sarawak United FC gagal, MFL akan membatalkan penyertaan Sarawak United FC ke Piala Malaysia sekiranya layak.


"PFAM menyambut baik usaha yang ditunjukkan MFL dan akan bersama-sama berkerjasama dalam apa-apa usaha yang mengetengahkan kebajikan dan kesejahteraan pemain," ujarnya.


Sebelum ini pemilik kelab itu, Datuk Posa Majais dalam laporan yang disiarkan Astro Arena dipetik berkata, masalah tersebut akan diselesaikan selewat-lewatnya dua minggu lagi selepas peruntukan baharu kelab diluluskan.


Pada masa sama beliau menerusi rakaman perbualan telefon yang dikongsikan Astro Arena juga menafikan gaji tertunggak empat bulan.


Difahamkan isu tunggakan gaji tersebut melibatkan barisan pemain dan juga jurulatih kelab.

Next Post Previous Post