Perpindahan Shell ke Sarawak bukti pelabur pilih kestabilan, Abang Johari

Abang Johari (tengah) meneliti replika bangunan baharu Ibu Pejabat Shell Malaysia Huluan yang kini sedang dalam pembinaan di Marina Time Square. Gambar Pejabat Premier Sarawak

MIRI— Keputusan syarikat multinasional Shell Malaysia memindahkan pusat operasi serantau ke Miri membuktikan bahawa pelabur secara umumnya mahukan kestabilan politik dalam memastikan kemajuan dicapai.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemindahan ini juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Abang Johari (tengah) menyaksikan penyerahan surat penganugerahan pembinaan Ibu Pejabat  Shell Malaysia Huluan oleh Ivan(kiri) kepada Yaw.


“Dasar pemerintahan GPS yang mementingkan kestabilan, inklusif, mudah bekerjasama, mampan selain berpandangan jauh menambah keyakinan kepada pelabur untuk datang ke sini.


Kita tidak mementingkan diri sendiri, tidak bersikap ‘introvert’ sebaliknya ekstrovert. Kita boleh berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan ia bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.


Abang Johari berkata demikian pada majlis penyerahan surat penganugerahan pembinaan Ibu Pejabat  Shell Malaysia Huluan kepada Pantai Bayu di Marina Times Square hari ini.


Surat penganugerahan itu disampaikan oleh Pengerusi Shell Malaysia Ivan Tan kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan ParkCity Datuk Seri Yaw Chee Siew mewakili Pantai Bayu.


Katanya, dasar GPS ini akan terus memastikan Sarawak menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing khususnya dalam  sektor minyak dan gas mengembangkan perniagaan.


Beliau menambah, pemindahan pusat operasi serantau itu diibaratkan sirih pulang ke gagang selepas Miri menjadi hab indusri petroleum negara yang pertama selepas penemuan minyak pada 1910.


“Saya berasa berbangga kerana pemindahan operasi ini menandakan kembalinya Shell ke Miri.


Kerajaan sudah tentu akan membantu dan menyokong dalam memudahkan operasi Shell di sini terutama di Miri yang mempunyai sejarah panjang dalam industri minyak dan gas,” katanya.


Sementara itu, bangunan baharu itu dijangka siap pada Ogos 2023.


Terdahulu, BERNAMA melaporkan Kerajaan Sarawak akan belajar dari negara lain serta institusi global utama untuk menghasilkan rangka kerja yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi penyimpanan dan perdagangan karbon di negeri ini.


Abang Johari berkata Sarawak baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2022, yang memberikan negeri itu peruntukan yang lebih baik mengenai penyimpanan dan perdagangan karbon.


Sehubungan itu, beliau berkata rangka kerja yang mematuhi standard antarabangsa adalah perlu dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri Dr Hazland Abang Hipni telah ditugaskan untuk meneliti perkara itu.


“Saya telah menghantar Dr Hazland ke Lisbon, Portugal (untuk belajar daripada mereka) dan kami juga bekerjasama dengan Verra (program Standard Karbon Disahkan) dalam usaha untuk mendapatkan cadangan konkrit dari segi perdagangan karbon.


“Ia (perdagangan karbon) ini adalah sesuatu yang baharu dan protokol antarabangsa telah ada dan kami harus mematuhi protokol antarabangsa mengenai perdagangan karbon,” katanya dalam ucapan semasa majlis Penyerahan Simbolik Surat Anugerah bagi pembinaan dan pemasangan Ibu Pejabat Huluan Shell Malaysia di sini hari ini.


Bangunan pejabat pelbagai penyewa dengan Shell sebagai penyewa utamanya akan menjadi bangunan yang mampan dan cekap tenaga, terletak di Miri Times Square.


Bangunan baharu itu akan merangkumi ruang pengecasan kenderaan elektrik (EV), panel solar, penuaian air hujan dan kawasan taman khusus.

Next Post Previous Post