Kakitangan APM didenda RM28,000 terima suapan

Kakitangan APM didenda, APM terima suapan, Mohd Nazrin, Berita Malaysia

KUALA LUMPUR— Seorang kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) didenda RM28,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima suapan berkaitan pembekalan peralatan pejabat, tahun lepas.


Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Nazrin Mohd Nasir, 38, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan.


Mohd Nazrin sebagai penjawat awam iaitu Pembantu Pertahanan Awam di APM didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,500 dan cuba mendapatkan RM18,000 tanpa balasan daripada pemilik Syarikat Pendang Jaya Sdn Bhd yang tertuduh ketahui syarikat tersebut tiada kena-mengena dengan tugas rasminya.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga restoran berasingan di Putrajaya dan Pahang antara 7 hingga 11 Okt 2021, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Peguam Khairul Naim Rafidi yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga yang menyara isteri serta seorang anak berusia 13 tahun selain menghidap diabetis yang memerlukan suntikan insulin.


Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat kerana tertuduh yang merupakan penjawat awam telah mengetepikan integritinya dengan terlibat dalam jenayah rasuah yang merupakan suatu perbuatan jijik dalam kalangan masyarakat.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.