Sarawak rancang bina lebih banyak penempatan baharu ala Darul Hana, Abang Jo

Abang Johari (enam kiri) bersama yang lain menunjukkan tanda bagus di hadapan salah sebuah rumah di Skim Penempatan Semula Darul Hana hari ini.

KUCHING—Sarawak merancang untuk membuka kawasan baharu dalam usaha membina lebih banyak perumahan kepada rakyat termasuk di kawasan rendah dan dipenuhi air.


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian berhubung pembukaan kawasan-kawasan berkenaan telah dilaksanakan oleh pakar dan jurutera yang terlibat.



“Kita sudah meminta pakar dan jurutera untuk mengkaji cara membangunkan kawasan berkenaan dengan terusan yang akan menakung air, supaya tidak akan berlaku masalah banjir seperti di kawasan Semariang.


“Sekarang ini JTS (Jabatan Tanah dan Survei) akan buat kajian, bukan sahaja kita lakukan di Kuching (Semariang), malah di kawasan Kemuyang, Sibu yang sudah siap juga kita telah laksanakan,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan surat hak milik tanah, cek pampasan tanah dan kunci rumah Skim Penempatan Semula Darul Hana di sini hari ini.


Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mempelajari model pembangunan dasar perumahan Sarawak yang membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.


"Apa yang berlaku kini adalah kawasan baharu perumahan kita bekalkan kemudahan termasuk jalan dan parit di mana semua kos ini ditanggung Kerajaan Sarawak.


"Kita tidak memindahkan kos infrastruktur ini kepada pembeli, sebaliknya ditanggung kerajaan dan pembeli hanya membeli rumah,” katanya.


Malah kata beliau lagi, pembangunan perumahan mampu milik seperti Darul Hana juga telah diperluas ke kawasan lain termasuk Kemuyang di Sibu, Jepak di Bintulu, Miri dan Sebuyau.


“Hari ini, kita akan menyaksikan perpindahan penduduk ke Darul Hana, dan ketika ini kawasan di Kemuyang, Sibu, di Kampung Datu, sudah siap dibina seperti di kawasan ini juga.


“Selain itu, Kampung Melayu di kawasan Kabong juga sedang diusahakan buat masa ini dan ditembok terlebih dahulu sebelum membina rumah,” katanya.


Pada majlis itu, seramai 337 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan Lot Tambahan bagi fasa pertama pemindahan telah menerima surat hak milik tanah, pampasan dan kunci rumah mereka di Perumahan Darul Hana hari ini.


Sementara itu, seramai 454 pemilik tanah berdaftar turut menerima cek pampasan selain surau Blok 1A yang boleh memuatkan 460 jemaah bernilai RM4.28 juta turut dibina bagi kemudahan penduduk.

Next Post Previous Post