Polis masih menjejaki suspek rogol dua pelajar


KUCHING— Polis masih memburu guru yang disyaki merogol dua pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Sebauh, Tatau di Bintulu yang menghilangkan diri sejak 19 Julai lalu.


Guru berusia 33 tahun yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu dikehendaki polis selepas menghilangkan diri susulan laporan polis dilakukan dua mangsa berusia 14 tahun itu pada 27 dan 29 Julai.


Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berikutan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah membekukan gaji guru tersebut.


“Saya dimaklumkan pejabat pendidikan telah mengambil tindakan dan kes ini sudah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Fatimah dalam pada itu berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen mempergiat usaha menjejaki suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.


Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, beliau memberitahu kementerian sudah menjalankan tindakan susulan termasuk memberikan bantuan dari segi kaunseling dan perubatan bagi meringankan kesan trauma kedua-dua mangsa.

Next Post Previous Post