Pengundi DUN Batu Lintang mahu See Chee How kosongkan kerusi


KUCHING-- Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan sanggup turun padang bertemu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang bagi mendapatkan maklum balas berhubung tindakan ADUN kawasan itu, See Chee How keluar dari PSB. 


Jelas Voon, hasil maklum balas pengundi di situ mendapati mereka kesal dengan tindakan See itu. 


"Ramai yang saya temui mengatakan mereka mengundi parti (PSB), bukan mengundi untuk See Chee How sebagai individu. 


"Mereka sudah cukup dengan beliau dan beliau sepatutnya cukup matang untuk meletakkan jawatannya di Batu Lintang," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Tambah Voon, dengan membuat komitmen atau Aku Janji kepada PSB untuk tidak meletak jawatan daripada parti jika menang atas tiket PSB, See sepatutnya mempamerkan kepimpinan dengan menghormati apa yang telah beliau dijanjikan kepada PSB.  


"Dengan meletak jawatan See sepatutnya memberi pampasan kepada PSB kerana telah memenangi pilihan raya negeri di kerusi berkenaan atas tiket PSB," katanya. 


Tambahnya lagi, pengundi di Batu Lintang yang ditemui juga memberitahu alasan See keluar parti adalah alasan yang sangat remeh dan tidak boleh diterima oleh mereka apabila beliau berkata beliau mahu menjauhi politik kepartian.


"Dengan menjadi seorang yang bebas, bagaimana beliau boleh berkhidmat di kawasan dengan baik?


"Malah, orang ramai kini sudah muak dengan ahli politik meninggalkan parti mereka atau melompat ke parti lain selepas dipilih.  


"Atas sebab inilah peratusan keluar mengundi semasa PRN12 adalah sangat rendah," ujarnya. 


Selain itu katanya, orang ramai juga hilang minat dan berasa dikhianati dalam sistem demokrasi negara dan ini membawa kepada Akta Anti-Hopping 2022 yang diluluskan baru-baru ini.


"Dengan melompat keluar atau meletak jawatan daripada parti, adakah See menggalakkan (perbuatan) memberangsangkan lompat parti?," ujarnya. 

Next Post Previous Post