Petronas catat untung bersih RM23 bilion suku kedua 2022


KUALA LUMPUR— Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan bersih yang melonjak kepada RM23.0 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 daripada RM9.6 bilion dalam tempoh sama setahun lepas, seiring dengan kenaikan hasil yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos pengeluaran dan cukai.


Perolehan hasil syarikat minyak dan gas negara itu turut meningkat kepada RM93.3 bilion daripada RM57.1 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, didorong terutamanya oleh impak harga menggalakkan bagi kesemua produk serta kesan pertukaran asing.


Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata usaha Petronas juga telah digerakkan untuk terus memperkukuh ekosistem tenaga di Malaysia serta di negara-negara yang menempatkan operasinya.


“Berikutan itu, kumpulan kekal komited terhadap usaha bagi membentuk nilai yang menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ini termasuk sokongan terhadap daya tahan ekosistem minyak dan gas  tempatan serta memupuk kerjasama kukuh ke arah mengekalkan persekitaran kondusif bagi kemajuan perniagaan,” katanya pada sesi pengumuman prestasi kewangan suku kedua 2022 Petronas di sini, hari ini.


 Selain itu, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) bagi suku di bawah kajian itu meningkat kepada RM34.5 bilion daripada RM18.4 bilion bagi tempoh sama tahun lepas berikutan peningkatan tunai daripada operasi.


Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Petronas mencatat keuntungan bersih sebanyak RM46.4 bilion berbanding RM18.8 bilion sebelum ini, disumbangkan oleh pertambahan hasil susulan aliran peningkatan harga yang sebahagiannya diimbangi oleh kos pengeluaran serta cukai lebih tinggi.


Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM172.1 bilion dalam separuh pertama 2022 daripada RM109.6 bilion bagi tempoh sama 2021, terutamanya disumbangkan oleh impak harga yang menggalakkan bagi produk-produk utama yang seiring dengan peningkatan harga utama.


Jumlah aset Petronas turut mengukuh kepada RM699.5 bilion dalam separuh pertama 2022 berbanding RM635.0 bilion setakat 31 Dis, 2021, kebanyakannya disokong oleh pelaburan dana, tunai serta bayaran belum terima yang lebih tinggi.


Menurut Petronas, CFFO bagi separuh pertama 2022 berjumlah RM62.4 bilion berbanding RM32.7 bilion sebelum ini yang sejajar dengan peningkatan tunai daripada operasi.

Selain itu, perbelanjaan modal (capex) kumpulan pula berjumlah RM18.9 bilion yang disumbangkan terutamanya oleh projek-projek huluan.


Petronas juga menyifatkan keseluruhan capex yang dibelanjakan bagi tempoh suku di bawah kajian itu sebagai memaparkan jumlah aktiviti yang kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19.


Bahagian huluan kumpulan mencatatkan jumlah purata pengeluaran harian sebanyak 2.43 juta tong minyak bersamaan sehari pada separuh pertama 2022, berbanding dengan 2.35 juta tong sehari dalam tempoh setahun sebelumnya yang didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran minyak dan gas daripada operasi di Malaysia selain kenaikan pengeluaran minyak mentah di peringkat operasi antarabangsa.


Bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh penyusutan pengeluaran gas asli daripada operasi antarabangsa susulan pelupusan asetnya di Azerbaijan, kata Petronas dalam kenyataan berasingan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post