3 buruh didakwa rogol remaja perempuan Orang Asli



KUANTAN—Tiga lelaki Orang Asli didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 14 tahun, dua minggu lepas.


Rosli Bakar, 29, Helmat, 22, dan Murad Ahmad, 26, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga buruh kampung itu didakwa secara bersama-sama melakukan rogol berkumpulan terhadap remaja berkenaan di hutan berhampiran simpang kawasan perkuburan lama Bukit Ibam, Muadzam Shah, Rompin antara 11.15 malam, 20 Ogos hingga 7 pagi,  21 Ogos.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nurul Syuhada Tuan Mamat manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifuldin Ab Rahman.


Bagaimanapun, tiada jaminan yang ditawarkan kerana kesemua tertuduh turut berhadapan pertuduhan membunuh remaja yang sama di Mahkamah Majistret Pekan semalam dan bagi tuduhan rogol itu mahkamah menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.


Media sebelum ini melaporkan, mayat remaja yang tidak bersekolah itu ditemukan oleh sepupunya di lereng bukit berhampiran rumahnya pada 21 Ogos dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post