Perumahan Sentoria Samariang: Pembeli dijanjikan pulangan deposit RM100 sahaja?

Projek perumahan Taman Sentoria, Samariang Fasa 5,7 dan Spektra 1 dan 2 di Borneo Samariang Borneo City. Gambar arkib

KUCHING—Kemelut yang menimpa lebih 1,000 pembeli rumah bagi projek perumahan Taman Sentoria, Samariang Fasa 5,7 dan Spektra 1 dan 2 di Borneo Samariang Borneo City di sini bagaikan tiada penghujung.


Terbaharu, mereka dijanjikan pulangan deposit RM100 sahaja menerusi cadangan baharu yang dikemukakan pemaju projek berkenaan, Sentoria Borneo Land Sdn Bhd menerusi notis Akujanji: Persetujuan Bersama Untuk Pembatalan Kontrak Perjanjian Jual Beli Bagi Pembelian Rumah di Fasa B5 yang dihantar menerusi email kepada pembeli terlibat.


Dalam notis tersebut, Sentoria dipetik berkata; "Seperti yang pihak tuan sedia maklum, projek pembinaan bagi Fasa B5 telah mengalami kelewatan yang amat kritikal.


"Malahan ianya telah berlanjutan sehingga kepada proses pemindahan lokasi ke B18c yang masih lagi di dalam proses kelulusan pihak berkuasa tempatan.


"Sehubungan dengan itu, pihak pemaju ingin mencadangkan agar persetujuan bersama dilakukan di antara pembeli dan pemaju bagi membatalkan perjanjian Jual & Beli (Sale & Purchase) yang telah ditandatangani sebelum ini," katanya.


Jelas Sentoria dalam notis itu, cadangan untuk pembatalan ini adalah bertujuan menamatkan waktu menunggu rumah untuk siap yang masih lagi samar pembinaannya dan tarikh siap.


Selain itu, membuka peluang kepada pembeli untuk memohon pinjaman kewangan bagi pembelian rumah baru bagi projek lain.


Oleh yang demikian, kata Sentoria lagi, sekiranya pembeli bersetuju menandatangani perjanjian akujanji pembatalan ini , semua butiran di bawah akan digunapakai iaitu Perjanjian Pembatalan itu akan uruskan boleh pihak Peguam yang dilantik Pemaju untuk proses pembatalan dan Pelucutan hak pembelian di atas PO No : 003172, dan deposit pembelian RM100 akan dipulangkan kepada pembeli.


Berikutan notis akujanji ini, para pembeli meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati dengan tindakan pemaju tersebut yang disifatkan seperti "scammer".


Ammar Ghadaffi dalam hantaran Facebooknya berkata; "Bijak permainan #Sentoriaproperties tk.....bila xmampu molah,kita di suroh sain surat pembatalan konon2 kita pembeli yg cancel..


"Scammer terang terangan #sentoriaproperties tk paduhal ... Pembeli B40 xda pembelaan dr kerajaan negeri, kerajaan pusat,menteri2 perumahan hanya sampah, fikir untung sendirik dr nolong rakyat....politaik malaysia......sampah....".


Sementara itu, seorang lagi pembeli Zool Fikkr memaklumkan semalam terdapat pembeli projek perumahan Sentoria dihubungi oleh pihak pemaju untuk menandatangani surat akujanji pembatalan perjanjian S & P tanpa sebarang ganti rugi ke atas pembeli.


"Pembeli hanya dijanjikan pemulangan deposit berjumlah RM100 ringgit sahaja dan pembeli tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang tindakan undang undang ke atas pemaju," dedahnya.


Sehubungan itu, beliau berharap pihak media dapat mengetengahkan masalah tersebut dalam usaha membantu dan memperjuangan hak pembeli yang teraniaya ini.


"Dengan siarnya berita ini kami berharap ia dapat membantu pembeli yang terlibat.


"Ketika ini seramai lebih kurang 1,000 pembeli projek Fasa 5 , 7 , Spektra 1 dan 2 kini terpaksa membayar komitmen bulanan RM1,000-RM1,500 tanpa gagal kepada bank, Ippsa dan Borneo Housing," ujarnya.

Next Post Previous Post