Pendidikan antirasuah untuk pelajar TVET September ini

Pendidikan antirasuah, Pelajar TVET, SPRM, KIAR, Berita Malaysia
Datuk Razim Mohd Noor

CHUKAI— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan pendidikan antirasuah menggunakan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) untuk pelajar Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) bermula awal bulan depan.


Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Noor berkata proses penambahbaikan dan pengubahsuaian modul KIAR yang diolah daripada subjek sama di institut pengajian tinggi (IPT) itu, sudah siap sepenuhnya dan telah mendapat persetujuan pihak berkaitan.


Beliau berkata pada masa ini kursus latihan untuk pelatih (training for trainers) sedang giat dilaksanakan bagi menyediakan tenaga pengajar yang berkemahiran.


"Kita perlu lakukan pengubahsuaian daripada modul asal yang digunakan di IPT kerana cara pemarkahan serta penilaian kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus TVET ini nanti tidak sama dengan mahasiswa universiti," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Steel Hawk Berhad di sini, hari ini.


Timbalan Pengerusi Steel Hawk Berhad Datuk Sharman K.Michael hadir sama pada majlis tersebut yang turut menyaksikan 52 kakitangan syarikat itu melafaz ikrar bebas rasuah.


Selain penerapan antirasuah melalui modul, Razim berkata pihaknya juga akan membawa bekas pesalah rasuah ke institusi TVET untuk berkongsi pengalaman dan hukuman yang diterima akibat jenayah tersebut.


Katanya inisiatif itu bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda supaya tidak terlibat dengan rasuah yang boleh merosakkan masyarakat serta negara.


"Setakat ini dah ada bekas pesalah yang bersetuju dan rela hati untuk tampil ke hadapan berkongsi pengalaman dan kesan buruk rasuah kepada karier, keluarga dan masa depan mereka.


"Kita harap pendedahan sebegini dapat menyentuh lebih dalam ke hati golongan muda supaya tidak terjerumus dan melakukan kesilapan sama," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.