Pembinaan Fasa 2 Projek SSLR, LTB mula awal tahun depan, PM

Gambar kredit UKAS

MIRI—Kerajaan Persekutuaan telah meluluskan Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) serta Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB), dan pembinaannya akan bermula seawal tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata penelitian teknikal bagi projek Fasa 2 SSLR dan LTB yang menghubungkan Miri, Limbang serta Lawas itu kini di peringkat akhir, dengan pembinaannya dijangka memakan tempoh selama tiga hingga lima tahun.


Gambar kredit UKAS


Perdana Menteri berkata projek itu bukan sahaja membolehkan penduduk kawasan utara Sarawak menuju ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya, malah memberi manfaat kepada penduduk sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.


"Pengguna dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Brunei menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 kilometer (km) yang bakal ditambah baik kepada dua lorong untuk perjalanan dua hala.


"Bagi mereka yang tidak mahu melalui Brunei, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km," katanya dalam ucapan perasmian pembukaan laluan Seksyen Pujut WPC11 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, di sini hari ini.


Gambar kredit UKAS


Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ismail Sabri berkata projek yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion itu bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.


Sementara itu mengulas mengenai pembukaan laluan Seksyen Pujut Lebuhraya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata pelaksanaan lebuh raya itu adalah usaha mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung.


Beliau berkata melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik, transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi serta sosial dapat dizahirkan.


"Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ialah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.


"Skop pembinaan Seksyen Pujut ini antaranya melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada, pembinaan dua jambatan dan empat hentian bas yang telah bermula pada 1 Nov 2016 dan siap sepenuhnya 2 Julai lepas," katanya.


Beliau berkata projek itu juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.


Seksyen Pujut Lebuhraya Pan Borneo adalah laluan  sepanjang 15.9 kilometer yang menghubungkan persimpangan Lapangan Terbang Miri dan Pujut Link Road dengan anggaran kos pembinaannya berjumlah RM470 juta.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post