Chong gesa Willie letak jawatan


KUCHING—Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menggesa Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin meletak jawatan sebagai wakil rakyat.


Katanya, ia susulan beliau (Willie) telah keluar dari Parti Bersatu dan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).


Tindakan Willie melompat parti seolah-olah mengambil kesempatan terhadap Akta Anti Lompat Parti yang belum dikuatkuasakan.


“Meskipun secara undang-undang beliau boleh melakukan perkara itu, namun saya berpandangan semua orang tahu bahawa secara moralnya ia adalah salah.


“Sekiranya beliau mempunyai maruah, beliau harus meletak jawatan kerana beliau juga memberi undi kepada Akta Lompat Parti,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Ibu Pejabat DAP Sarawak, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas keputusan PBB menerima keahlian Willie di dalam parti semalam.


Sementara itu, Chong menambah, wakil rakyat tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap akta yang belum dikuatkuasakan dan melakukan perkara yang dilihat tidak bermoral.


Sebelum ini, Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Willie diterima menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.


Beliau mengesahkan perkata itu ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Jalan Bako, di sini, semalam.


Untuk rekod, Willie memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan memperoleh 18,885 undi dan majoriti sebanyak 4,005 undi.


Beliau memenangi kerusi Parlimen itu setelah berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari PBB, Genot Sinel.


Willie ketika ini merupakan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

Next Post Previous Post