Notification

×

Iklan

Iklan

Pekerja asing bekerja di Sarawak perlu jalani saringan malaria

| Ogos 06, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-06T09:54:00Z
Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang

SIBU— Pekerja asing yang akan bekerja di Sarawak diminta menjalani saringan malaria terlebih dahulu selain pemeriksaan perubatan lain seperti ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan penyakit tersebut. 


Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata ini berikutan sepanjang tempoh 2016 hingga 2021 sebanyak 19 kematian direkodkan daripada keseluruhan 7,291 kes malaria zoonotik dan malaria manusia jangkitan import di negeri ini. 


Beliau berkata agensi kerajaan atau swasta dalam sektor komersial seperti perladangan, perlombongan, dan pembinaan di Sarawak perlu memainkan peranan dalam memastikan semua pekerja asing melakukan pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria seperti ditetapkan kerajaan.


“Pihak majikan juga bertanggungjawab membekalkan kelambu kepada pekerja mereka untuk melindungi daripada gigitan nyamuk. Bagi pekerja yang mengalami gejala malaria, mereka perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Bandar Kapit dekat sini hari ini.


Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata kes malaria manusia jangkitan import di Sarawak juga dikesan dalam kalangan rakyat negeri ini yang dijangkiti semasa bekerja di luar negara dan membawa parasit malaria tanpa disedari ketika pulang ke Sarawak.


“Risikonya adalah parasit malaria tersebut sangat berpotensi menyebarkan jangkitan malaria manusia kepada rakyat tempatan. Jadi kita semua tidak boleh berasa selesa atau mengambil sikap sambil lewa,” katanya.


Dari aspek data pula, beliau berkata jumlah kes malaria tertinggi pernah dicatatkan di Sarawak adalah pada 1999 dengan 3,155 kes dan merekodkan penurunan pada 2010 dengan jumlah kes 2,802 kes.


“Namun, sejak 2016 Sarawak berjaya mencapai sasaran sifar kes malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) dan mengekalkan pencapaian tersebut sehingga kini,” jelasnya .


Menurutnya kejayaan status sifar itu adalah hasil usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaksanakan program kawalan dan eliminasi malaria dengan berkesan.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update