Roland Engan pengerusi PKR Sarawak

Roland Engan (dua kiri) diumumkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR baharu Sarawak.

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Roland Engan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR baharu Sarawak.


Katanya, keputusan itu telah disokong sebulat suara oleh semua ahli dan pemimpin cawangan PKR di negeri ini.


“Kita telah mendapatkan kata sepakat daripada semua pemimpin. Justeru itu, kami bersetuju Roland akan menjadi Pengerusi PKR Sarawak yang baharu,” katanya pada sidang media di pejabat parti PKR di sini.


Sementara itu Anwar berkata, PKR akan terus memberi tumpuan menangani isu rakyat termasuk kenaikan kos sara hidup, kemiskinan bandar dan luar bandar serta isu tanah.


Berhubung persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15), Anwar berkata pimpinan parti masih belum berada di tahap tersebut.


Sehubungan itu katanya, PKR akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan raya di peringkat pusat dan negeri sebagai persediaan menjelang PRU-15 nanti.


Sementara itu, Roland dari Cawangan PKR Baram turut menyuarakan keyakinan akan membina semula parti PKR di Sarawak sebelum PRU-15.


Beliau turut mengakui bahawa PKR kehilangan beberapa pemimpin terutama mereka yang telah dipilih rakyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


“Namun begitu, ia tidak bermakna kita tidak mempunyai pemimpin yang baik.


“Saya akan bertemu dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang lain di Sarawak bagi membincangkan peruntukan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.


Selain itu, Timbalan Pengerusi PKR Negeri yang juga Ketua Cabang Hulu Rajang Abun Sui Anyit berkata, sebanyak tiga nama calon sudah disahkan bertanding mewakili PKR pada PRU-15 nanti.


Selain beliau sendiri di Parlimen Hulu Rajang, dua nama lain ialah Roland Engan di Baram dan Japar Suyut di Lawas.


“Namun begitu, nama calon-calon lain akan diputuskan di mesyuarat PKR peringkat pusat di Kuala Lumpur Sabtu ini,” ujarnya.

Next Post Previous Post