-->

Notification

×

Iklan

Iklan

PDRM akan kaji semula pemindahan anggota terlibat salah laku ke Sabah, Sarawak

| Ogos 03, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-03T11:06:46Z


KUALA LUMPUR—Keputusan berhubung pertukaran sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.



Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah membuat semakan dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, dan dimaklumkan bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini.


Menurut kenyataan itu Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah.


“PDRM menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM,” menurut kenyataan itu.


Sementara itu dalam kenyataan berasingan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM berhubung perkara itu.


Beliau juga meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.


“Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak, tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.


“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.


Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi sebelum ini dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA
×
Berita Terbaru Update