PBM sah tidak bertanding PRU-15 di Sarawak, kedudukan Larry Sng jadi tanda tanya


KUCHING—Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).


Perkara itu disahkan oleh bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin (gambar kiri) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Syarikat SaraSpice di Icom Square, di sini hari ini.


Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).


"PBM masih menunggu kelulusan selepas permohonan sudah dimajukan untuk menyertai BN. 


"BN tiada di Sarawak, jadi PBM tidak akan meletakkan calon di negeri ini PRU-15 nanti," katanya.


Kenyataan Ahli Parlimen Ampang itu sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung kedudukan Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada PRU-15.


Larry memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang kerusi itu Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.


Larry Sng dilantik sebagai Presiden PBM selepas diputuskan perwakilan daripada 12 bahagian PBM yang menghadiri Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di Sibu, Sarawak awal Januari lalu.


Berhubung perkembangan permohonan PBM menyertai Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata, permohonan dalam proses penilaian setakat ini.


“Mereka (BN) sedang dalam proses penilaian sekarang ini dan kita hanya mengikuti perkembangan semasa," jelasnya.


Media sebelum ini melaporkan bahawa PBM telah menghantar permohonan untuk menyertai BN tiga minggu yang lalu, bagi membentuk sebuah gabungan parti baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Sementara memetik laporan Berita Harian, permohonan PBM untuk menyertai BN akan dibincangkan terlebih dulu dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual diadakan pada minggu hadapan.


Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keputusan mengenainya akan dibuat oleh kepemimpinan BN secara konsensus.

Next Post Previous Post