PBB tidak paksa Ahli Parlimen veteran undur diri - Abang Jo


KUCHING—Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan memaksa penyandang kerusi Parlimen dari parti itu untuk berundur dan memberi laluan kepada calon lebih muda.


Presidennya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebaliknya PBB mempunyai budaya iaitu penyandang sendiri yang akan mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada calon baharu.


Katanya buat masa ini memang terdapat penyandang kerusi Parlimen dari parti itu yang menzahirkan hasrat untuk tidak bertanding semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“PBB akan umum nama penyandang yang mahu undur diri apabila kita tahu tarikh pilihan raya nanti. 


“Kita ada budaya iaitu penyandang apabila mereka rasa sudah cukup masa berkhidmat untuk rakyat mereka akan secara sukarela undur diri dan beri pada orang muda, kita (PBB) takkan paksa,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan surat hak milik tanah, cek pampasan tanah dan kunci rumah Darul Hana di sini, hari ini.


PBB yang menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen.


Tiga lagi parti komponen GPS ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memegang dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan satu kerusi.


Sebelum ini, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata berbekalkan kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 yang lepas, GPS kini berazam memenangi kesemua 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada penampilan pertamanya pada pilihan raya umum.


 -- BERNAMA

Next Post Previous Post