Lori tangki bawa diesel, petrol terbakar di Suai

Anggota bomba memadam api kebakaran sebuah lori tangki membawa muatan petrol dan diesel dalam kejadian di Jalan Persisiran Miri - Bintulu petang semalam. Gambar kredit Bomba

MIRI—Berpantang maut sebelum ajal, pemandu terselamat selepas tayar  belakang lori tangki bermuatan 28,000 liter diesel dan petrol terbakar dalam kejadian di Jalan Persisiran Miri-Bintulu, Suai, pada Isnin.


Lelaki berusia 50 tahun itu sempat menyelamatkan diri, sebaik sahaja menyedari tayar belakang lori tersebut terbakar.


Menurut pemangku Bomba dan Penyelamat Miri Ahmad Nizam Sapaiee, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 5.50 petang.


"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah telah dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.40 petang,"ujarnya.


Setiba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah lori tangki minyak yang sedang marak terbakar pada keempat-empat tayar belakang kiri lori tersebut.


Setelah membuat ‘size up’ berpandukan konsep RECEO dan pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada jentera sehingga padam.


"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Nizam.


Lori tangki tersebut dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri membawa 16,000 liter Ron 95 petrol dan 12,000 diesel liter.


Operasi tamat pada jam 7 malam.

Next Post Previous Post