Notification

×

Iklan

Iklan

Budak 12 tahun maut disambar petir ketika guna telefon

| Ogos 16, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-16T02:57:57Z
Nur Asyqin Qistina. Gambar kredit Utusan Online

GUA MUSANG—Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Lojing, dekat sini semalam.


Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata ketika kejadian kira-kira 4.50 petang itu, kawasan tersebut sedang berlaku ribut petir.


Beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh bapa mangsa M Nor Zawawi Awang selepas dimaklumkan oleh isterinya bahawa anaknya Nur Asyqin Qistina telah pengsan di tempat tidur.


Nur Asyqin Qistina. Gambar Facebook M. Nor Zawawi Awang menunjukan gambar Nur Asyqin Qistina di Hospital Gua Musang. Gambar kredit Harian Metro


“Apabila selesai solat asar di surau di hadapan rumah, pengadu mendengar bunyi petir, pengadu pulang ke rumah dan telah dimaklumkan bahawa tiada elektrik. Pengadu telah menghubungi pembaiki solar inverter yang memaklumkan bahawa inverter solar rumah pengadu telah rosak akibat daripada panahan petir.


“Lebih kurang 15 minit kemudian isteri pengadu telah memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina telah pengsan di tempat tidur. Pengadu kemudian telah pergi ke tempat tidur anaknya dan didapati anaknya telah pengsan dan di tangan kanan anaknya terdapat telefon bimbit dan ada pengecas telefon bimbit berdekatan anaknya selain terdapat kesan lecur di tangan kanan dan terbakar pada tilam,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sik berkata bapa mangsa kemudian telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan disahkan meninggal dunia.


“Hasil siasatan di tempat kejadian didapati tiada terdapat keterangan yang boleh mengaitkan sebab kematian si mati adalah disebabkan perlakuan jenayah dan dipercayai kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap inverter solar rumah pengadu.


“Mayat telah dibawa ke Hospital Gua Musang 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update