Kuasai pengurusan kewangan jadi usahawan berjaya, kata Hazland


KUCHING—Individu yang mahu menjadi seorang usahawan berjaya perlu mempunyai pengetahuan dalam selok- belok perniagaan terutama dalam pengurusan kewangan, selain mempunyai kemahiran tersendiri. 


Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni berkata, aspek tadbir urus kewangan yang baik penting bagi memastikan perniagaan yang diusahakan itu dapat dikawal dengan sebaiknya. 

 

“Selain itu, usahawan perlu juga mempunyai premis atau tempat perniagaan dan akaun media sosial seperti whatsapp, facebook, instagram dan youtube bagi tujuan promosi dan pemasaran mengikut keadaan semasa.


"Justeru, dengan adanya beberapa aspek ini, akan meningkatkan  sosioekonomi serta memperkasakan wanita dalam kerjaya sebagai usahawan," katanya selepas menyampaikan Sijil Kursus Gubahan Bunga Melur yang diadakan di Kampung Pinggan Jaya di sini. 

 

Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada golongan wanita Kampung Pinggan Jaya mengambil bahagian dalam kursus itu.


Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, kursus asas pensijilan yang telah diadakan sebelum ini telah berjaya melahirkan ramai usahawan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.  

 

Katanya, penganjurannya yang kini memasuki tahun keenam itu akan sentiasa dipertingkatkan dengan kemahiran-kemahiran baharu. 

 

“Setiap peserta yang mengikuti kursus persijilan ini akan diberikan sijil yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan seperti SEDC, MARA, TEKUN, Bank AGro, Bank Rakyat dan sebgainya. 

 

“Sebelum itu, mereka perlu mendaftarkan perusahaan mereka untuk memperoleh lesen perniagaan sekiranya berhasrat untuk meneruskan bidang usahawan ini sebagai kerjaya dan separuh masa,” ujarnya.

Next Post Previous Post