Konsul Jeneral Republik Indonesia harap sistem pengangkutan Kuching-Pontianak diperkasakan


KUCHING-- Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) DI Kuching, Raden Sigit Witjaksono berharap sistem pengangkutan antara Kuching ke Pontianak dipertingkatkan seperti sebelum pandemik COVID-19 berikutan pembukaan pintu sempadan darat sejak April dan Mei lalu.


Beliau memberitahu ketika ini perkhidmatan bas hanya disedia dari Kuching hingga Tebedu dan begitu juga dari Pontianak ke Entikong.



"Sekarang kalau hendak ke Pontianak sudah boleh kerana pintu sempadan darat sudah dibuka iaitu di Lubok Antu–Nanga Nadai, Tebedu–Entikong dan Biawak–Aruk.


"Aktiviti keluar masuk dari kedua-dua negara di pintu masuk ini juga telah meningkat iaitu kira-kira 400 kenderaan sehari dari kedua-dua arah.



"Namun, pengangkutan bas hanya sampai di pintu masuk sempadan sahaja berbanding sebelum pandemik seperti contoh bas dari Pontianak boleh masuk hingga ke Kuching Sentral begitu juga sebaliknya bas dari Kuching hingga ke Pontianak," katanya pada sidang media selepas sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia ke-77 di perkarangan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di sini hari ini.


Tambah Sigit, begitu juga perkhidmatan bas dari bandar utama lain di negeri ini, turut diharap dapat disediakan seperti sebelum pandemik COVID-19.



Jelasnya, ini dapat memberi kesan baik kepada sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara amnya, Sarawak dan Kalimantan khasnya.


"Kita berharap ia dapat dilaksanakan pada September tahun ini yang mana orang Sarawak dari Kuching boleh menaiki bas hingga ke Pontianak begitu juga sebaliknya," katanya lagi.



Selain itu, beliau juga berharap Telok Melano dan Temajuk dibangunkan dengan lebih baik lagi bagi meningkatkan aktiviti sosioekonomi dan pelancongan di kawasan tersebut.


Katanya, kedua-dua bahagian itu amat berpotensi besar untuk dimajukan.



"Inilah harapan kita pada masa hadapan untuk melihat kedua-dua pemerintah membangunkan pintu masuk sempadan di Telok Melano dan Temajuk," ujarnya.


Pada masa yang sama beliau memberitahu pihaknya juga berharap sistem pengangkutan udara dari bandar-bandar utama di Sarawak ke bandar-bandar utama di Kalimantan dan Jakarta dapat dipertingkatkan lagi bagi memperkasakan sektor pelancongan kedua-dua negara.



"Kita harap sistem pengangkutan udara boleh dipertingkatkan tidak hanya Kuching-Jakarta tetapi juga boleh wujudkan laluan dari Kuching-Bali sebagai contohnya. Jadi inilah harapan kita pada masa depan kerana hubungan Malaysia-Indonesia amnya, Sarawak-Kalimantan khasnya amat baik sejak dahulu.


"Oleh itu kita berharap Sarawak dan Kalimantan terus menjalinkan hubungan pada masa hadapan kerana kita tahu Sarawak negeri yang maju terutamanya dalam bidang tenaga," ujarnya lagi.

Next Post Previous Post