61 sekolah anak warga Indonesia di Sarawak


KUCHING-- Sebanyak 61 daripada 63 Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) dalam sektor perladangan di Sarawak masih kekal aktif, kata Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching, Raden Sigit Witjaksono.


Beliau memberitahu, CLC itu menempatkan 1,900 pelajar yang terdiri daripada anak-anak pekerja Indonesia yang berdaftar, berusia tujuh hingga 12 tahun bagi menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna.



"Setakat Julai seperti yang kita dimaklumkan terdapat 61 daripada 63 CLC masih aktif di Sarawak.


"Kita amat bersyukur kerana kerajaan Sarawak melalui Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak tanpa mengira dari mana jua.



"Kita amat berterima kasih tentang ini dalam mestikan anak-anak warganegara Indonesia di negeri ini tidak ketinggalan mendapatkan pendidikan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia ke-77 di perkarangan Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di sini hari ini.



Jelasnya lagi, seramai 24 guru yang dilantik oleh kerajaan Indonesia ditempatkan di CLC ini dan lebih 100 guru ganti yang dilantik oleh syarikat peladangan.


Tambah Sigit, CLC ini diwujudkan di Miri, Bintulu, Mukah dan Simunjan.



"Selepas usia anak-anak mencecah 13 tahun, mereka akan melanjutkan pendidikan di Indonesia," katanya lagi.


Justeru, beliau berharap usaha itu dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesinambungan pendidikan untuk anak-anak pekerja Indonesia di negeri ini.




Next Post Previous Post