Keuntungan Sime Darby Plantation meningkat 32 peratus


KUALA LUMPUR—Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd (SDP) melonjak 32 peratus kepada RM812.0 juta dalam suku kedua (S2) yang berakhir pada 30 Jun, 2022, daripada RM617.0 juta pada suku yang sama tahun lepas susulan purata harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang tinggi. 


Hasil meningkat kepada RM5.59 bilion daripada RM4.41 bilion sebelumnya, kata kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


“Harga MSM dan isirung sawit yang tinggi terus menyokong prestasi kukuh tahun ke tahun kumpulan, walaupun pengeluaran tandan buah segar (FFB) menerima impak daripada isu kekurangan buruh dalam operasi di Malaysia,” katanya.  


Pada S2, purata harga MSM dan isirung sawit meningkat sebanyak 44 peratus dan 40 peratus masing-masing kepada RM5,213 setan metrik dan RM3,339 setan metrik.


Dalam sektor hiliran, SDP berkata keuntungan sebelum faedah dan cukainya meningkat kepada RM243 juta pada suku semasa, disebabkan terutamanya margin tinggi dijana oleh operasi di Asia Pasifik, margin rendah yang direkodkan oleh kilang penapisan di Eropah dan penurunan kuantiti jualan di semua wilayah. 


Menurut syarikat itu, operasi lain merekodkan keuntungan tinggi terutamanya disebabkan oleh bahagian hasil yang lebih tinggi daripada usaha sama kumpulan. 


Pengarah Urusan Kumpulan Mohamad Helmy Othman Basha berkata kekurangan pekerja asing sah di Malaysia telah menjejaskan produktiviti SDP manakala langkah-langkah baharu yang dimulakan untuk mewujudkan persekitaran bekerja yang lebih baik telah meningkatkan kos pengeluaran.


Bagi menangani isu-isu ini, kumpulan telah mengambil langkah berani untuk melaksanakan proses penjenteraan, mengautomasi dan mendigitalkan kerja yang sebelum ini dilakukan secara manual, yang mengurangkan keperluan buruh, katanya.


“Walaupun kami melaksanakan pelan untuk proses penjenteraan, mengautomasikan operasi di Malaysia, kami telah memulakan usaha baharu untuk mentransformasikan kilang minyak sawit kami menjadi kemudahan keselamatan makanan yang diperakui dalam seluruh operasi kami. 


“Dengan pelaksanaan usaha ini, Kumpulan berhasrat untuk menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan dan berkemahiran tinggi menyertai ladang kami. Kami komited untuk meneruskan usaha yang membawakan perubahan positif kepada industri,” katanya. 


Mengenai prospek masa depan, SDP menjangka harga MSM kekal kukuh sekurang-kurangnya sehingga akhir 2022 dengan kelewatan pengambilan pekerja asing baharu terus menjejaskan aktiviti penuaian kumpulan dalam operasinya di Malaysia.


Ini dijangka memberi kesan kepada keseluruhan pengeluaran FBB kumpulan yang dijangka rendah berbanding tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 (TK2021), katanya.


SDP mengisytiharkan dividen interim 10 sen sesaham bagi Tahun Kewangan 2022, meningkat daripada 7.90 sen sesaham pada Tahun Kewangan 2021 yang akan dibayar pada 18 Nov, 2022. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post