Kuasa autonomi keluar permit, lesen laut dalam manfaatkan rakyat Sarawak - Awang Tengah

Gambar arkib


KUCHING— Kuasa autonomi Sarawak dalam pengeluaran permit serta lesen perikanan laut dalam dapat membuka peluang lebih luas buat masyarakat tempatan menceburi bidang berkenaan. Kuasa autonomi keluar permit, lesen laut dalam manfaatkan rakyat Sarawak - Awang Tengah


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata aktiviti perikanan laut dalam sememangnya mempunyai potensi besar, terutamanya buat negeri seperti Sarawak yang kaya dengan hasil lautnya.


Beliau berkata ketika ini kebanyakan aktiviti perikanan serta nelayan di Sarawak lebih tertumpu kepada penangkapan ikan di kawasan pinggir pantai.


“Matlamat utama (kuasa pengeluaran lesen perikanan laut dalam) adalah untuk membantu dan memudahkan masyarakat tempatan kita menceburi sektor ini, Sarawak ini kaya dengan hasil lautnya,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Surat Empowerment (Penurunan Kuasa) kepada kerajaan negeri Sarawak bagi Pelesenan Perikanan Laut Dalam di sini, hari ini.


Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee. 


Pada 18 Okt lepas Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) meluluskan penurunan kuasa kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) untuk melaksanakan urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan zon C2 di Sarawak.


Sementara itu Awang Tengah berkata usaha untuk mendapatkan kuasa pengeluaran permit serta lesen perikanan laut di Sarawak telah bermula sejak pentadbiran bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.


“Sebelum ini, pengeluaran permit atau lesen perikanan ikan laut dalam akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dengan rujukan bersama kerajaan Sarawak.


“Tetapi sekarang ini kuasa itu ada pada kerajaan negeri Sarawak dan ini akan memudahkan orang Sarawak untuk terlibat sama dalam sektor berpotensi besar ini,” katanya.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post