Hasanah bebas sepenuhnya pertuduhan pecah amanah RM50.4 juta

Hasanah bebas sepenuhnya, Pertuduhan pecah amanah, JPM, Hasanah, Kerajaan Malaysia, Berita Malaysia
Datuk Hasanah Abdul Hamid. Gambar kredit Sinar Harian 

KUALA LUMPUR—Mahkamah Tingggi di sini hari ini membebas dan melepaskan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan unit perisikan luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Abdul Hamid daripada pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, empat tahun lepas.


Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Hasanah supaya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut setelah tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Fairuz Johari.


“Memandangkan pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menjalankan kes tersebut, mahkamah ini membebas dan melepaskan Hasanah daripada pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


“Tidak adil membiarkannya berdepan dengan pertuduhan itu begitu sahaja selama setahun dan itu bukan suatu keadilan," kata JC Roz Mawar.


Terdahulu, peguam pemohon Datuk Suhaimi Ibrahim berhujah bahawa pada tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) anak guamnya, bagaimanapun, sehingga kini pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan sebarang kes terhadap Hasanah.


"Mereka tidak dapat meneruskan lagi kerana perkara utama tidak ada lagi. Seterusnya, isu lain ialah, mereka tidak lagi mempunyai bukti utama yang terlibat dalam pertuduhan itu. Perkara subjek tidak ada lagi. Tidak salah jika pemohon dalam kes ini mengatakan bahawa kes pendakwaan tidak lagi wujud,” kata Suhaimi.


Pada 12 April 2021, Ahmad Shahrir memberikan perintah DNAA kepada Hasanah selepas TPR Muhammad Iskandar Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes terhadap Hasanah.


Hakim memutuskan bahawa TPR menyatakan bahawa Hasanah akan dihadapkan semula dengan pertuduhan di masa akan datang setelah terdapat perkembangan baharu.


Ahmad Shahrir juga berkata apabila TPR menjalankan kuasa-kuasanya di bawah Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, adalah menjadi kewajipan mahkamah berdasarkan Seksyen 254(3) kanun sama, untuk mempertimbangkan sama ada tertuduh sepatutnya diberi perintah pelepasan tanpa pembebasan atau perintah pelepasan dan pembebasan.


Perbicaraan bermula pada 6 Okt 2020, dengan 10 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam kes itu.


Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 65, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.


Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JPM, di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.


Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.